Friday, March 13, 2009

.: SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 20A :.

BERITA 1 (harakahdaily)

Salmah Mat Husien Foto Rizal Tahir
Thu Mar 12, 09 2:36:54 pm MYT
KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan. Anak nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini. Dengan keputusan itu Nik Nur Madihah juga meraih pelajar paling cemerlang di Kelantan dalam peperiksaan terbabit.
Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2). Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 memperolehi keputusan 17A. Manakala Suhazlinda Ghazali diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila memperolehi pencapaian 10 mumtaz dalam peperiksaan itu tahun lepas.Hadir sama pada majlis penuh bersejarah tersebut, ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42 dan ayahnya Nik Mohammad Kamal.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Zakaria Mohamad dan penolong-penolong pengarah Yik, tenaga pengajar sekolah terbabit, pelajar serta ibu bapa serta pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah. Mohd Amar ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 peratus dalam SPM termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pertama kali menduduki SPM.
Katanya, dua pelajar Maahad Tahfiz Sains mendapat 11A."Pencapaian keseluruhan membanggakan memandangkan tahun 2007 hanya 15 sekolah Yik memperolehi kelulusan 100 peratus," katanya.

Beliau juga berkata, seramai tiga pelajar memperolehi keputusan 13A, 11 orang (12A) dan lima orang (11A). Kata beliau secara keseluruhannya pencapaian peperiksaan SPM 2008 meningkat sebanyak 2.45 peratus apabila melonjak kepada 98.01 peratus. Mohd Amar juga meluahkan rasa kecewa apabila keputusan peperiksaan tersebut lewat diumumkan kerana kurang mendapat kerjasama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN).

Difahamkan pegawai JPN melengah-lengah penyerahan slip keputusan sekolah agama kepada pegawai Yik yang datang mengambil keputusan tersebut pagi tadi"Tak perlulah kita nak sorok atau rahsiakan kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan. Apa salahnya kalau dimaklumkan awal kepada kami," ujarnya. Mohd Amar juga berkata, antara rahsia kejayaan pelajar agama di bawah Yik kerana tidak pernah membelakangkan syariat dalam semua hal termasuk pendidikan.
"Namun sikap pihak tertentu yang memperlekehkan sekolah agama dan hari ini mereka melihat sendiri kejayaannya," kata beliau. - mj _

BERITA 2 (Utusan)

Nur Madihah puasa sebab miskin

Oleh AZRAN FITRI RAHIMazran.rahim@utusan.com
KOTA BHARU 14 Mac – “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, gambar) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.
“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.”
Demikian luahan ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh.

Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut. Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.
“Disebabkan tak ada wang poket, kakak akan makan roti di sekolah dan kerana terlalu banyak makan roti, ia jadi kegemarannya. Malah dia bercita-cita belajar cara buat roti. Kata kakak, dia hendak buat roti banyak-banyak.

“Ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan anak begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dia menerima kekurangan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A. Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar. Kesusahan hidup Nik Nur Madihah yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Mariani berkata, sejak kecil anaknya itu gemar membaca buku dan setiap masa terluang tidak pernah dibiarkan begitu saja.
“Memang dari kecil lagi dia minat benar dengan buku. Saya dan suami tidak pernah paksa kakak membaca buku, kadang-kadang paksa dia suruh berhenti sebab sudah masuk Maghrib.
“Sifat ulat buku ini turun kepada tiga adiknya,” tambahnya.
Menurut Mariani, seorang lagi anaknya kini menuntut dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik Bachok, seorang dalam tingkatan tiga di bawah tajaan Permodalan Nasional Berhad di Bandar Salak Tinggi dan yang bongsu di tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini.
Ujarnya, sekiranya Nik Nur Madihah meminta wang untuk membeli buku, dia dan suami akan berusaha mencari wang tersebut tetapi selalunya ia tidak diberi serta-merta kerana kesempitan hidup.
“Kakak tidak banyak kerenah dan agak pendiam. Dia pun tidak beritahu kami dia ambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah saat-saat akhir,” ujarnya.

BERITA 3 (harakahdaily)

Pelajar cemerlang SPM 2008 dapat rumah bernilai RM130,000

Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir Sun Mar 15, 09 11:39:36 am MYT
PENGKALAN CHEPA, 15 Mac (Hrkh) - Kejayaan pelajar cemerlang negara SPM 2008, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 dari Maahad Muhammadi Perempuan turut dikongsi bersama kerajaan negeri.Beliau mendapat 20A (19A1, 1A2) dan menjadi kebangsaan kepada kerajaan negeri serta rakyat Kelantan.
Kejayaan itu merupakan rekod kedua di alaf baru apabila pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan muncul sebagai pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan.
Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2).

Hari ini anak nelayan dari Kampung Sabak dikunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, petang Khamis lalu telah dikunjungi anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar.Sebagai menghargai kejayaan tersebut Menteri Besar menawarkan satu lot dan rumah kepada keluarga nelayan tersebut bagi membolehkannya tinggal dalam keadaan lebih selesa.
Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 juga dari Maahad Muhammadi Perempuan turut memperolehi keputusan cemerlang 17A.

Apa yang menggembirakan lot dan rumah bernilai RM130,000 sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga cemerlang itu akan dibina Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Taman Perumahan Kurnia Jaya. Menteri Besar ditemani Setiausaha Sulit Khasnya, Mohd Rusdi Abdullah mengunjungi rumah pelajar terbabit di Kampung Parang Punting, dekat Sabak.
Pada kunjungan tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada keluarga terbabit. Bercakap kepada pemberita selepas itu Menteri Besar mengalu-alukan pihak luar yang berhajat untuk membantu keluarga terbabit khususnya Nik Nur Madihah.

"Tak kiralah siapapun berhajat untuk memberi bantuan, bantulah," ujarnya.
Beliau turut mencadangkan pelajar cemerlang berkenaan melanjut pengajian ke Timur Tengah bagi membolehkan menguasai bahasa Arab dengan mudah dan cepat.

Sementara itu, ibu Nik Nur Madihah, Noraini Omar, 42 mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri yang bersedia menawarkan lot dan rumah baru kepada mereka.
Katanya, walaupun anak sulung itu pernah berazam untuk membeli rumah bagi keperluan keluarga apabila bekerja nanti, namun Allah telah mengurniakannya lebih awal hasil kecemerlangannya.

"Terima kasih banyak-banyak, saya tak tahu apa nak diucapkan lagi, ini pun dah banyak sumbangan yang diberikan," ujarnya. - mj _
(Kalau ikut landasan syariat yg seebenar, semua kejayaan milik kita. Bukti telah Allah tunjukkan. Celikkan Mata, Bukalah Hati.. Sokonglah Islam! Satu Bonus buat muslim/ah yg bijak akalnya, cemerlang pelajarannya,indah akhlaknya ditambah dengan cantik agamanya..)

0 comments:

Post a Comment