Monday, October 19, 2009

.: Aura Pembakar Semangat :.

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Alhamdulillah..Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Perak telah selesai dengan jayanya. Sungguh teruja dan bersyukur pabila melihat begitu ramai hadirin yang hadir di majlis tersebut. Menjadi aura pembakar semangat utk terus bergerak. Arena Squre dibanjiri dengan hampir 10,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Kaum Cina turut menunjukkan jumlah kehadiran tertinggi selepas Melayu. Alhamdulillah. Jelas, PAS semakin diterima masyarakat.

antara kaum cina yg hadir

Majlis yang dijadualkan bermula jam 12 tengahari telah dipenuhi seawal jam 11pagi lagi. Pelbagai menu yang disajikan pula alhamdulillah laris seperti gorong pisang panas! Apa yang lebih membuatkan sy terharu adalah pendekatan yang digunakan oleh pimpinan2 negeri yang menjadikan tetamu dan hadirin yang hadir sebagai VIP. Mereka disambut dengan mesra. Berbeza benar dengan program2 yang pernah sy hadiri sebelum ini yang kebanyakannya rakyat yang meyambut VIP.

suasana penuh sesak dengan pengunjung

Suasana majlis turut dirancakkan lagi dengan pelancaran "Orang Muda Geng Kita" yang sememangnya menarik perhatian ramai pabila gimik perasmian diserikan dengan deruman lebih 20 motorsikal berkuasa tinggi. Ternyata golongan muda tidak kira dari pelbagai latar belakang semakin celik minda. Alhamdulillah. Mudah-mudahan bilangan mereka semakin bertambah..



motorsikal berkuasa tinggi

Alhamdulillah, sy juga berpeluang mengeratkan silaturrahim dengan pimpinan nisa' negeri yang sebelum ini hanya berjumpa di alam maya. Keramahan mereka seperti telah lama berkenalan. Itulah indahnya ukhwah bila terjalin atas dasar yang sama. Pertemuan yang membuatkan kerinduan sy kepada sahabiah2 labuan dan Sabah kian menebal. Semoga kita kan bersua suatu hari nanti.

kakak2 nisa'

Semoga tautan hati antara ahli gerakan ini menjadi pendinding agar tidak tergelincir dari landasan. Amin..

p/s :- Disebabkan sy tak bawa kamera on that day, gambar2 diimport dari blog demokrasi93.blogspot.com.. tq dik :)

Saturday, October 17, 2009

.: Jemputan Ke Majlis Jamuan Raya :.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Buat semua pengunjung2 blog, tidak mengira bangsa, agama dan latar belakang politik.. terutama orang Perak, Jom kita memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Perak yang dikelolakan oleh PAS Batu Gajah seperti tarikh dan masa berikut :-


Semoga dengan kehadiran anda akan mengeratkan ikatan silaturrahim sesama kita serta memeriahkan lagi majlis.

Nisa' Batu Gajah digalakkan datang awal bagi membantu urusan persiapan dewan..Syukran..

Wednesday, October 7, 2009

.: KERJA KOSONG- SEMENTARA :.

( ...JAWATAN INI TELAH DIISI PADA 9 OKTOBER 2009 YG LALU, HARAP MAAF... )

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Berita baik buat sesiapa yang berminat mengisi kekosongan jawatan sementara seperti butiran yang berikut :-

Nama Jawatan : Kerani Gudang / Warehouse Clerk

Status Jawatan : Sementara

Tempoh Jawatan : 2 Bulan sahaja

Gaji : RM 1000 sebulan (Sudah Termasuk Elaun Tambahan)

Syarat Tambahan :
1) Mempunyai kemahiran menggunakan komputer
2) Mempunyai kemahiran menggunakan Microsoft Excel
3) Tinggal berdekatan Batu Gajah atau Bota


BERMINAT??? Hubungi 014-8676480 secepat mungkin..

Nisa' Parit & Nisa' Batu Gajah digalakkan memohon..


!!! DIPERLUKAN SEGERA !!!

Tuesday, September 29, 2009

.: Beraya di 5 Negeri :.

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, Terima kasih kepada Yang Maha Pengasih dan Penyayang yang masih memberi waktu untuk sy bernafas di bumiNya dan menikmati keindahan dan nikmat hidup di dunia sementara ini.

Sedikit terhibur rasa di hati bila membaca coretan pengalaman berhari raya sahabat2 melalui blog2 yang sy ziarahi.. Jelas terpancar sinar keceriaan melalui penulisan yang dicoretkan. Dari blog Ustaz Hasrizal ke blog Srikandi Harakah, aman, bob, sahabat2 seratas dan umskal yang lain. Semuanya menceriakan. Teringin juga membaca pengalaman berhari raya saudari Balqis bersama suami dan baby Zayd yang comel tu, namun mungkin balqis belum sempat menulisnya di blognya. insyaAllah akan sy nantikan.

Raya tahun ini bagi sy sedikit berbeza. Jika pada tahun2 sebelum ini, seminggu pertama syawal pasti tak dapat berjalan kemana2 kerana sibuk menerima tetamu2 yang tidak putus2 datang kerumah, namun Syawal pada tahun ini sy berkesempatan beraya di 5 buah negeri. Pengalaman yang sangat2 berharga dan menyeronokkan. InsyaAllah tidak akan sy lupakan pengalaman berharga ini.

Beraya di Perak..

Beralamat di Kg Teluk Kepayang, Bota, Perak. Di Teratak Milik Ayahanda tercinta, alhamdulillah raya tahun ini semua adik beradik beraya bersama. Abg Izat, Abg Iwan, Adik Helmi, Adk Syukri dan Adik Kamil.

Malam sebelum raya, kami sibuk memasak lemang jagung. Mungkin ada yang tak pernah merasa kesedapan lemang jagung, namun itulah lemang kegemaran keluarga kami. Seperti saban tahun, selaku anak tunggal perempuan keluarga, tugas sy adalah utk menyiapkan bahan2 membuat lemang jagung serta memasukkan ke dalam buluh dan tugasan membakar lemang akan dilakukan oleh abg2 dan ayah.

Lemang Jagung sedap dimakan bersama rendang. Tambahan pula Rendang Perak.

Pagi raya selepas solat hari raya dan menziarahi pusara ibu tersayang, kami sibuk melayan tetamu yang datang ke rumah. Sempat juga kami buat suprise kat abg Iwan sempena Birthday abg no 2 sy ni yang kebetulan pada hari raya tu..


Beraya di Kelantan..

Alhamdulillah..tahun ini 1st time sy dapat beraya ke Kelantan. Negeri pimpinan Ulama' yang amat sy kagumi. Tersangat gembira rasanya. Awal pagi raya ketiga kami bertolak dari Perak dan sampai Lewat malam ke kelantan sbb terperangkap dalam traffic jam lebih kurang 4 jam di jeli. Sabar jela.. penat, tapi berpuas hati. Teramat cantik pemandangan bukit bukau & gunung ganang yang asyik berzikir menemani sepanjang perjalanan. Sejuk mata memandang. Sungguh Indah Ciptaan Yang Maha Kuasa.

Sebenarnya tujuan utama ke Kelantan adalah utk ke kenduri kahwin anak saudara di Pasir Mas. Tapi mcm org tua2 ckp, sambil menyelam minum air. Tapi, yang paling membuatkan sy gembira adalh bilamana kedatangan ke Pasir Mas memberi peluang sy berjumpa bertentang mata dengan ibu bapa kawan baik sy Tengku Nurhazwani @ Meknur yang sanggup datang ke pasir mas dari kuala krai semata2 nak berjumapa sy sekeluarga. Ramah betul mak dan ayah nur. macam da lama berkenalan plak. Puas diorang ajak tido dan beraya ke rumah diorang di Kuala Krai, tapi tak dapat kami tunaikn sbb dah janji untuk beraya ke terenngganu plak selepas ini. Alhamdulillah, dapat jugak ole2 keropok, dodol dan serunding kegemaran sy dari mak ayah nur. terharu rasanya.. Terima kasih Pakcik..Makcik..

Beraya ke Terengganu..

Raya kelima, kami sekeluarga bertolak ke Besut Terengganu untuk menziarahi keluarga kakak saudara di sana. Cntik sungguh pemandangan rumah mak dan ayah kakak saudara sy yang berada di kawasan sawah padi dan berhadapan dengan gunung ganang. Baik sungguh layanan orang Kelantan dan Terengganu. Walaupun dialek bahasa berbeza namun adab meraikan tetamu sungguh baik sekali. Pengalaman bermalam dan mandi air telaga yang sejuk pasti takkan dilupakan.


Pemandangan di hadapan rumah kakak saudara di Besut

Sepanjang dalam perjalanan ke Terengganu, sempat juga sy contact sahabat2 yang tinggal di Terengganu..Kak Zhunaidah, Abg Din, Kak Sarah, dan Abg Long..tapi kami tak sempat singgah di rumah mereka sbb ada tujuan utama yang lain kami ke sini. Tujuan utama nak ke Kuala Berang. Bukan ke rumah abg long, tapi utk melihat rumah yang pernah kami sewa waktu kami tinggal di kuala berang hampir 20 tahun yang lalu. Tapi sedih jugak bilamana rumah tersebut sudah dirobohkan dan dibina kedai. Tapi Alhamdulillah, jiran lama kami masih ada dn masih mengingati kami. Hari yang sama kami bertolak pulang ke Perak selepas bergambar di Istana Maziah & Batu Bersurat. Masjid Kristal & tempat2 peranginan yang lain tidak sempat untuk dilawati.

Beraya di Negeri Sembilan..

Sehari berehat di rumah setelah pulang dari kelantan, sy seterusnya bertolak ke Negeri Sembilan. Perjalanan yang juga agak memenatkan. Destinasi tujuan, Daerah Tampin. Sepanjang perjalanan, sy begitu asyik melihat keunikan rumah2 tradisi si sini. Cantik dan unik. Rumah berbumbung yang agak tinggi. Rumah minangkabau kalau tak silap namanya. Setibanya kedestinasi tujuan, kami dijamu dengan pelbagai jenis makanan. Juadah hari raya yang dihidangkan tak jauh brbeza dari negeri perak. Tapi, Masak lemak cili api yang memang terkenal di n9 lah yang menjadi pilihan utama sy. Memang sedap dan cukup rasa.

Beraya di Melaka...

Tujuan utama ke Melaka adalah untuk menghantar adik pulang ke kampusnya. Namun, sempat juga sy bersiar2 di sekitar bandar Melaka yang terkenal dengan tempat2 bersejarahnya. Sempatlah jugak sy ke Perigi Hang Tuah, Afamosa, Menara Taming Sari dan beberapa tempat yang sy pun tak ingat namanya.

Tapi, kunjungan ke Melaka yang paling mengujakan adalah kunjungan kerumah Kak Sarah di Ayer Molek, Melaka. Rindu yang dah lama tersimpan di dalam hati dapat diluahkan dengan pelukan erat kakak tersayang yang bergitu akrab dengan sy sewaktu di UMSKAL dulu. Makin berseri-seri dan comel kak sarah selepas bergelar isteri. Banyak cerita yang sempat kami kongsikan bersama. Suami kak sarah pun begitu ramah melayan kami. Dek leka berbual, sampai terlupa bergambar bersamanya. terkilan plak rasanya. Apapun, terima kasih buat kak sarah yang disayangi atas layanan dan duit raya yer!

Mungkin post kali ini lebih berbentuk coretan peribadi. Sekadar berkongsi pengalaman bersama pembaca. Jauh perjalanan sememangnya membuatkan kita bertambah pengetahuan. InsyaAllah, selepas ini akan sy jejaki lagi negeri2 tersebut dan negeri2 lain bagi bersama2 melaksanakan amanah yang masih belum dilaksanakan. Moga dimudahkan urusan olehNya. Wasalam.

.:. Penemuan Paling Beharga Sepanjang Seminggu bermusafir adalah satu SLOGAN yang sangat menyentuh hati sy, sy terbaca di sbuah kain rentang di tepi jalan di sebuah kawasan perumahan.Slogan tersebut telah sy zahirkan menjadi gambar seperti di bawah. Sama2 kita fikir dan renungkan dengan mata hati .:.

Tuesday, September 8, 2009

.: Adikku Sayang :.

Bismillahirrahmanirrahim..

Alangkah syahdunya hati bila memandang kanak-kanak di usia awal 4 ke 7 tahun melagukan ayat2 suci Al-Quran di kaca televisyen setiap hari di bulan Ramadhan ini. Tentu sejuk hati ibu dan ayah yang melahir dan membesarkan mereka. Pasti hati ibu bapa ini begitu gembira dan bersyukur melihat anak-anak mereka yang membesar dalam acuan Al-Quran. (Tribut to rancangan Kalamullah)

Namun, ada juga segelintir ibu bapa yang begitu berbangga dan gembira melihat anak kecil mereka menari dan pandai menyanyi di kaca televisyen. Dilatih berjoget tak ke kanan ke kiri. Sudah dilatih untuk memakai pakaian yang sendat dan ketat. Sudah di make up dengan gincu dan pemerah pipi yang tebal. Ibu bapa ini turut bersama-sama di bawah pentas memberi support dan sorakan buat anak acuan hiburan. ( Tribut to rancangan Anmum Essential Tom-tom bak )

Dimanakah anak-anak yang bakal generasi kita lahirkan tergolong? Kebimbangan kian menebal..

Sy begitu tertarik dan kini telah menjadi penonton setia sebuah rancangan hiburan mendidik jiwa kanak-kanak bertajuk "Haiwan Teladan" yang disiarkn di TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi. Nampak santai namun penuh didikan secara halus melalui setiap segmen yang di paparkan. Mungkin nampak biasa bagi sesetengah orang, namun bg sy, ia adalah antara pendekatan yang agak luar biasa yang telah berjaya di hasilkan oleh pihak produksi. Sungguh besar ganjaran pahala buat mereka.


Antara perkataan yang begitu terkesan di jiwa sy selaku seorang yang sudah jauh lebih dewasa dari kanak-kanak yang menjadi peserta rancangan haiwan teladan adalah pabila setiap kali kak Ady (moderator rancangan) menghabiskan cerita-cerita haiwan di zaman nabi, satu soalan wajib pasti ditanya kepada adik2 yang menyertai rancangan tersebut.. soalannya..

"Hebat tak haiwan tu adik-adik?..."

DAN ADIK-ADIK ITU MENJAWAB..

"Hebat!!! TAPI ALLAH LAGI HEBAT..."

Begitu hebat dan berkesan tarbiyyah yang diberikan kepada kanak-kanak kecil ini..Alangkah bagusnya jika setiap rancangan yang ditayangkan di televisyen berorentasikan keislaman seperti sedemikian rupa. Tapi sayangnya, pasti pabila Ramadhan berlalu pergi, rancangan-rancangan yang bercirikan keislaman seperti ini akan diganti dengan rancangan-rancangan lain yang sudah pasti akan mengotori kembali minda penonton..

Namun, bertapa ruginya Malaysia..sebuah negara Islam, namun masih belum sepenuhnya Islam. Terima Kasih buat pejuang-pejuang yang ingin mendaulatkan Islam di negara Islam ini. Bunyi seperti pelik, MENDAULATKAN ISLAM DI NEGARA ISLAM.. tapi.. itulah hakikatnya..

Sekadar bingkisan dari insan yang macam biskut Chipsmore dalam penulisan blog. Mudah-mudahan akan istiqamah selepas ini. Salam Ramadhan.. Wasalam.

Thursday, July 30, 2009

.: Ulama' DICELA?? :.

Aplikasi Konsep Matematik

Jika mengikut konsep operasi hasil tambah dalam Matematik, jika sesuatu nombor ditolak, maka hasilnya akan berkurang. Contohnya,

( 5 - 1 = ?) hasilnya adalah 4.

Jika sesuatu nombor menjalani operasi tambah pula, hasilnya juga akan bertambah. Contohnya

( 5 + 1 = ? ) hasilnya adalah 6.

Namun, jika kita mengaplikasikan pengiraan Matematik dalam hukum di dalam Islam, ia adalah berlainan. sebagai contoh jika 6 Rukun Iman ditolak 1 maka hasilnya adalah sifar.

( 6 Rukun Iman - 1 = ? ) hasilnya akan menjadi '0'.

Ini adalah kerana, seseorang Islam itu wajib percaya dan yakin kepada 6 rukun Iman ini. Contohnya, jika seseorang itu menolak salah satu rukun iman seperti percaya kepada malaikat, maka akan terbatallah imannya.

Seseorang yang mengaku sebagai seorang yang beragama Islam WAJIB percaya, yakin, patuh dan mengikut semua yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan semua yang dilarang olehNya. Orang Islam WAJIB melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran TANPA MENOLAK SATU PUN yang diperintahkan oleh Allah di dalamnya.

Berdasarkan dalil berikut, Allah merakamkan di dalam Al-Quran :-

“Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan” (Al-Baqarah: 208)
Seseorang yang benar-benar fahami Islam dan isi kandungan Al-Quran pasti akan menjalankan segala yang terkandung di dalamnya. ISLAM AGAMA YANG SYUMUL dan merangkumi keseluruhan aspek termasuk SIASAH atau DALAM BAHASA MELAYUNYA disebut POLITIK. Seseorang yang pakar dalam agama dipanggil ULAMA. Seorang Ulama' pasti tahu mengenai apa yang terkandung di dalam Al-Quran termasuk bagaimana SIASAH atau POLITIK DALAM ISLAM.

Maka, semua wajar mengetahui bahawa TIADA ISTILAH ULAMA TIDAK BOLEH MENCAMPURI URUSAN POLITIK seperti yang dikhabarkan di media massa. Orang atau Individu yang mengeluarkan kenyataan sedemikian mungkin cetek ilmu agamanya dan sewajarnya merujuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah serta TIDAK BOLEH MENOLAK SATU PUN YANG TERDAPAT DI DALAMNYA KERANA IA ADALAH PERINTAH ALLAH YANG MAHA KUASA.
Maka, Jangan mencela Ulama kerana mereka lah yang sewajarnya menjadi rujukan kita.

( AL-QURAN - 1 isi didalamnya = 0)

( SIASAH/POLITIK - HUKUM ISLAM = 0 )

-Wasalam-

Memberitahu kepada mereka yang tidak tahu.

Tuesday, July 21, 2009

.: Warna yang Tidak Berdosa :.

Bismillahirrahmanirrahim..

Pengalaman sememangnya merupakan sesuatu yang amat beharga. Pengalaman itu pula kadangkala manis dan kadangkala pahit. Namun, bukanlah tajuk pengalaman yang ingin difokuskan pada entry kali ini. Tetapi post pada kali ini lebih kepada persoalan yang memerlukan pandangan dan buah fikiran pembaca.
Diskriminasi....
Jika merujuk kepada maksud yang tertera di Wikipedia, Diskriminasi membawa maksud pelayanan yang tidak adil terhadap individu tertentu, di mana layanan itu dibuat berdasarkan kumpulan yang diwakili individu berkenaan. Itu kalau 'individu'..persoalannya sekarang, bagaimana pula jika ia berlaku kepada bukan manusia? adakah masih diklasifikasikan sebagai diskriminasi?
Bidang Teknologi Multimedia sememangnya sinonim dengan pelbagai rekabentuk yang unik, menarik dan interaktif. Bidang ini juga memerlukan kreativiti yang tinggi dan kemahiran dalam memilih warna-warna dan rekabentuk yang menarik. Warna warni ciptaan Ilahi sememangnya sangat indah sehingga mampu mempengaruhi emosi manusia.
Namun, alangkah sedihnya bilamana sesetengah warna-warni ciptaan ilahi ini didiskriminasikan oleh sesetengah pihak. Sehinggakan tidak boleh langsung menggunakan warna tersebut walau secalit untuk sebarang gambar, tulisan mahupun apa jua rekabentuk. Apakah dosa warna tersebut sehingga dilakukan sedemikian rupa. Mungkin jika ia punya mulut untuk bersuara dan mata untuk menggambarkan kesedihannya, sudah pasti warna itu akan bersuara dan menitiskan air mata untuk mengambarkan kesedihannya. Sedangkan disisi Baginda Rasullullullah, warna itu begitu disukai Baginda.
Teringat kembali, sewaktu di hari kedua menjalani latihan praktikal, tugasan untuk menyiapkan banner bagi suatu majlis di rekabentuk. Hampir enam rekabentuk diberikan dan hanya satu yang bewarna itu. Tidak dirancang, hanya mengikut naluri sewaktu merekabentuknya. Namun, saban waktu pasti ada yang mengingatkan tentang warna itu. Tidak dibenarkan disini. Kasihan warna itu. Dan sehingga kina hampir berpuluh rekabentuk dibuat untuk tugasan disini, warna itu tidak secalit pun dapat mewarnai rekabentuk-rekabentuk yang dibuat. Jika tidak kakak itu, pasti ada kakak lain, atau encik lain yang mengingatkan. Baiklah, ak hanya akur dengan rasa tidak puas hati. Bila ditanya mengapa, jawapan itu juga diberi..Kita kerajaan.Hmm.. Kasihan warna itu. Sedangkan warna itu antara warna yang melambangkan Islam.
Takutkah mereka pada warna lambang agama sendiri? Persoalan yang masih difikirkan.. Diskriminasi apakah ini?

Thursday, June 4, 2009

.: Kini Praktikalnya pula :.

Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah hampir 10 tahun merantau, kini alhamdulillah kembali ke pangkuan keluarga. Setelah hampir 3 tahun di tarbiyyah di The Beach Campus, kini mula melangkah ke 'alam sebenar'. Pengalaman menjalani latihan praktikal mungkin agak lewat untuk dikongsikan bersama. Inilah antara kegagalan yang berlaku sepanjang diri ini berada di bumi perak. Kegagalan menguruskan masa dengan baik sehingga nak meng'update' blog pun tak sempat. Terasa diri ini tidak layak untuk digelar sebagai seorang Dai'e pabila memikirkan kegagalan demi kegagalan yang dibuat.

Dunia bekerja sememangnya jauh berbeza dengan dunia belajar di alam kampus. Barulah diri ini mengetahui mengapa begitu ramai penggerak kampus yang 'tercicir' pabila tamat belajar dan berada di alam pekerjaan. Jika diri tidak kuat sudah pasti akan tewas. Jika melayan badan yang penat, melayan kehendak keluarga yang mahu sentiasa bersama di rumah, sudah pasti ramai yg akan kecundang dari medan perjuangan. Moga dijauhkan.

Buat semua bakal zaujah dan ummi, terutamanya yang sedang menjalani praktikal , sama-samalah kita menggunakan peluang ini dengan sebaiknya sebagai persediaan pabila berumahtangga kelak. Dunia praktikal merupakan medan latihan sebelum ke alam yang sebenar kelak. Sememangnya agak sukar untuk kita bekejar menguruskan kerja rumah, memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah dan sebagainya dalam satu masa. Belum lagi dengan gerak kerja, usrh dan tuntutan-tuntutan yang lain. Diri ini juga hampir saban hari tewas dalam sesi latihan persediaan yang sedang dillui sekarang. Banyak yang perlu dikorbankan. Dan tak semua yang mampu dilakukan dalam satu-satu masa.

Namun, mengingatkan pesanan seorang sahabat..'Walau dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung..Walau dimanapun berada, Islam tetap yang utama' menjadikan diri semakin kuat untuk meneruskan perjuangan di tempat sendiri. Walaupun agak kekok, perjuangan perlu diteruskan. Kalau diikutkan rasa hati, berada di Labuan jauh lebih mudah untuk bergerak kerja dan disana sememangnya sangat memerlukan kita.

Perkongsian pengalaman ini moga sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran buat pembaca khususnya yang masih bergerak di kampus. Gunakan peluang di sana sebaiknya dan penuhi dada dengan pengalaman semaksima mungkin. Semoga kita semua kan tetap di bawah landasan perjuangan yang sebenar.Wasalam.