Friday, April 3, 2009

.: Najib sah PM ke 6 :.

Oleh Ahmad Naim Tahir dan Norfatimah Ahmad bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Proses peralihan kuasa kepemimpinan negara bermula semalam apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat melepaskan jawatannya dan memohon perkenan melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam. Abdullah dilihat memasuki pekarangan Istana Negara di sini, kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana bernombor WCH 13 dan keluar kira-kira sejam selepas itu sambil tersenyum dan melambai kepada wakil media yang menunggu di luar istana.

Najib, 55, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu, turut menghadap Yang di-Pertuan Agong setengah jam selepas itu. Timbalan Perdana Menteri dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 11.25 pagi dan beredar kira-kira 45 minit dengan menaiki Proton Perdana bernombor pendaftaran WRP 11. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan Sultan Mizan memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka akan diadakan di Istana Negara pada jam 10 pagi ini. Mohd Sidek berkata, istiadat bersejarah itu akan berlangsung seperti dijadualkan dan semua persiapan sudah diatur untuk memastikan upacara berkenaan berjalan lancar. "Selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib akan menandatangani surat menyimpan rahsia kerajaan sepanjang tempoh menduduki kerusi tertinggi kerajaan," katanya. Mohd Sidek berkata, orang kenamaan tempatan dan wakil negara asing turut dijemput untuk menyaksikan istiadat itu, yang dijangka selesai sebelum tengah hari.

Majlis penyerahan nota serah tugas Perdana Menteri oleh Abdullah kepada Najib pula dijadual berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 4 petang. Pelantikan Najib mengulangi sejarah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang memegang jawatan nombor satu dalam kerajaan dari 1970 hingga meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Januari 2004 ketika menjadi Naib Presiden Umno paling kanan. Sebelum itu, beliau pernah menjadi Menteri Pendidikan (1995-1999) serta dua kali sebagai Menteri Pertahanan pada Oktober 1990 hingga April 1995 dan dari Disember 1999 sebelum berpindah ke Kementerian Kewangan pada 17 September 2008.

“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan yang telah diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. – AlQuran, Surah AlMaidah ayat 44

“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara (berhukum) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. – AlQuran, Surah AlMaidah ayat 45

“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara (tidak berhukum) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. – AlQuran, Surah AlMaidah ayat 47

"Semoga Dato' Seri Najib menjadi pemimpin yang menjalankan hukum Allah agar tidak disamakan seperti kafir, orang zalim atau orang yang fasik spt ayat di atas.."

0 comments:

Post a Comment