Wednesday, May 13, 2009

.: Sharing Is caring :.

Bismillahirrahmanirrahim..

Peluang menjalani kursus Adobe Flash yg dijadualkan selama hampir sebulan baru saja bermula beberapa hari yang lalu dan benar-benar telah membuka minda dan hati ini tentang sesuatu yang sewajarnya telah disedari sejak mula-mula menjejakkan kaki ke bumi labuan hampir 3 tahun yang lalu. Walau apa pun jurusan yang diambil,samada jurusan yang dianggap profesional mahupun jurusan yang dianggap biasa, sewajarnya selaku umat islam yang bergelar ahli gerakan kita wajib 'memasterkan' diri dalam setiap bidang yang dipelajari agar kelak ilmu2 itu boleh digunakan untuk membantu agama yang kita cintai ini.

Bagi adik-adik yang baru sahaja mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat matrikulasi mahupun ke Institusi pengajian tinggi, sewajarnya peluang itu harus digunakan dengan sebaik mungkin. Berazam dan berniatlah di dalam hati untuk belajar keranaNya dan untuk membantu agamanya pabila telah tamat belajar kelak. Anggaplah diri adik-adik sebagai duta agama yang dihantar belajar di kos tersebut untuk menabur jasa kepada agama kelak. Amat berat tanggungjawab itu sebenarnya jika kita menyedari.

Alangkah beruntungnya Islam, Jika adik2 muslimat yang mendapat kursus perubatan misalnya, berazam dalam diri untuk belajar bersungguh-sungguh agar kelak bisa menjadi seorang Doktor Pakar Sakit Puan yang dapat merawat pesakit muslimah kita tanpa perlu membimbangkan batas aurat jika dibandingkan dengan seorang muslimah yang terpaksa dirawat, dipegang dan disentuh oleh seorang doktor sakit puan berlainan jantina. Amat sedih pabila perkara tersebut berlaku. Begitu juga andaikata adik2 ditawarkan jurusan undang-undang. Gunakan peluang itu sebaiknya untuk mempelajari segala undang-undang sivil disamping membandingkan dengan undang-undang Islam agar kelak pabila agama kita ditindas, kita dapat menjadi pembela agama di gelanggang mahkamah tanpa dengan mudah dibohongi musuh.

Namun, bagi adik-adik yang mendapat kursus-kursus yang tidak diminta atau dengan kata lain dilelong, jangan pula bersedih. Walau apapun jurusan yang ditawarkan, semuanya pasti dapat membantu sesuatu untuk Islam. Sebagai contoh, jika adik2 mendapat jurusan Multimedia, pelbagai ilmu yang terkandung di dalam jurusan ini boleh digunakan untuk agama yang kita cintai ini. Jika barat begitu gah dengan penghasilan kartun2 dan animasi2 menarik mengikut budaya mereka, kita selaku umat Islam juga tutur dahagakan hiburan-hiburan seperti kartun dan animasi yang berunsurkan islam. Jika mereka begitu hebat memanipulasikan bidang Multimedia untuk menghentam dan menghina Islam, mengapa tidak kita gunakan kepakaran kita untuk mempertahankan agama kita? ini antara percambahan minda yang boleh kita fikir-fikirkan bersama. Tidak mustahil selepas ini, youtube..google..frienster dan segala macam bentuk rangkaian media termasuklah hiburan-hiburan di kaca televisyen bisa memaparkan kartun2, animasi2, iklan2 dan pelbagai lagi hiburan berunsurkan Islam.

Jika melihat kepada keadaan semasa, tenaga pakar dalam pelbagai jurusan yang beragama Islam sebenarnya cukup ramai dan hebat. Buktinya, pihak barat sendiri begitu asyik mengambil tenaga-tenaga pakar dari Malaysia untuk bekerja di syarikat mereka di sana. dan rata-rata mereka juga terdiri dari orang Islam!. Namun, apa yang menyedihkan, bilangan tenaga pakar muslim ini tidak dapat menggunakan kepakaran yang ada untuk membantu agama. malah yang lebih menyedihkan, orang islam sendiri yang menggunakan kepakaran mereka untuk menghancurkan saudara seislam sendiri ibarat anai-anai. Siapalah kita? dengan hanya sedikit sahaja ilmu yang kita ada ini sebenarnya tidak terbanding dengan ilmu yang maha kuasa. walau diibaratkan dengan setitik air di lautan yang luas terbentang, masih tidak mampu menandingi ilmuNya.

Pesanan buat diri ini dan saudara-saudara seislamku sekalian, ayuh kita berubah untuk mengubah. Biasakan apa yang tidak biasa, dan tidak biasakan apa yang biasa. Islam yang sedang sakit ini perlukan kita untuk membuat vaksin bagi mengubatinya.Sekadar perkongsian pandangan..Wasalam.

Wednesday, May 6, 2009

.: jahitan luka terbuka kembali :.

Bismillahirrahmanirrahim

Nasihat khas buat diri..semoga cepat sembuh.

Kalau Allah larang buat sesuatu. Maka janganlah dibuat. Kerana Allah sayangkan hambaNya. Dia tahu mana yg baik mana yg buruk. Kalau kita masih buat apa yang Allah larang. Luka parah pasti menimpa. Tatkala itu, Jangan diungkit dimana kasihNya. Jangan dirayu belas dariNya. Kerana semua itu salah diri sendiri. Kejam menghancur dan meluka parahkan diri sendiri.

Kalau diri punya parut luka, Jangan dicari luka yang sama. Jadikan ia peringatan buat diri. Kalau diri tahu jalan itu berkaca. Jangan dilalui jalan yang sama. Kerna luka kedua pasti lebih parah dari luka sebelumnya. Parut yang tinggal itu untuk peringatan. Agar tak buat kesilapan yang sama. Tapi kenapa diri masih terleka? Tidak mengendahkan kepedihan luka parut lama? Masih rakus merobek jahitan luka? sehingga ia kembali terbuka. inilah manusia..

Kalau kesakitan luka itu masih dirasa. Jangan ditambah kepedihan yang ada. Tutup luka itu sebaiknya. Agar kuman tak bisa jangkiti. Agar parasit menjauh pergi. Kerna dirimu sendiri mengetahui. Tahap imunisasi dalam diri.. Luka itu kadangkala jika disorokkan lebih beerti. Tiada sape yang kan ketahui. Biarlah hanya parut menjadi saksi. Tatkala tiba masanya nanti.

Pesanan buat diri. Jadikan parut sempadan diri. Agar tidak mengalir lagi. Darah merah meracun diri.

Sunday, May 3, 2009

.: Ubat Pahit buat Pejuang :.

Bismillahirrahmanirrahim..

Pengalaman berada di dalam gerakan selama hampir tiga tahun benar-benar memberi banyak pengalaman yang berharga. Pengalaman sebagai ahli, pimpinan dan mantan cukup bervariasi. Terdetik dalam hati ini, bagaimana pula keadaan di medan sebenar pabila tamat belajar kelak. Adakah masih istiqamah atau tidak? adakah masih berkobar-kobar semangat dijiwa atau terpadam akhirnya..Moga dijauhkan.

Beberapa permasalahan ahli yang biasa terjadi suka untuk difokuskan. Kerna kadang-kala ia tanpa disedari menjadi 'anai-anai' dalam gerakan.

BERJUANG KERANA JAWATAN?

Pabila melihat segelintir ahli yang mula lari dari perjuangan tatkala jawatan tidak lagi digalas membuatkan diri berfikir. Adakah perjuangan itu hanya ada dengan pentaklifan jawatan semata? atau mungkin, jawatan yang digugurkan itu beerti perjuangan juga sudah berakhir? Benarkah kata-kata alasan kononnya ia sebagai memberi peluang kepada ahli junior untuk bergerak kerja wajar dijadikan alasan?..atau ia hanya sekadar alasan penyedap hati bagi mengurangkan rasa bersalah dalam diri?..mungkin Allah sedang memberi peringatan buat diri melalui ujian terhadap insan lain.

BERJUANG KERANA INSAN LAIN?

Penglihatan ini turut tidak terlepas dari melihat segelintir ahli gerakan yang pada mulany berkobar menyalakan obor jihad bersama teman-teman seperjuangan. Namun pabila insan harapan tiada lagi di hadapan, semangat itu kian luntur bahkan ada yang kian terpadam. Nauzubillah. Adakah semua ini bersangkutan dengan NIAT? Adakah semangat itu hanya hadir pabila ada insan yang disanjungi dan disayangi didalam medan? dan akan luntur jika dia tiada lagi dipandangan? atau mungkin terdapat faktor lain yang menjadi asbab permasalahan ini terjadi? berjuang kerana manusia atau benar-benar keranaNya? muhasabah bersama..

TINGGALKAN PERJUANGAN JIKA TERASA HATI?

Ada juga segelintir ahli gerakan yang pada mulanya bersemangat menyalakan obor jihad, lari dan hilang dari pandangan. Semuanya gara-gara terasa hati dengan insan lain di dalam medan. Kerana seorang ahli yg dibenci, maka perjuangan itu ditinggalkan. Membawa hati yg lara hingga perjuangan ditolak tepi. Bagaimanakah ini boleh dikira sebagai pejuang? Puas sudah diri cuba melihat sirah pejuang di zaman Nabi. Namun, tidak pula ditemui pejuang yang lari dari medan kerana terasa hati..Maka, berdasarkan situasi itu, adakah perjuangan ini benar2 dilakukan keranaNya atau kerna manusia? Jika keranaNya, mana mungkin pejuang akan lari dari medan hanya kerna terasa hati dengan manusia. Muhasabah buat diri..

PEJUANG MANJA?

Terdapat juga pejuang yang diklasifikasikan sebagai pejuang manja. Tidak boleh ditegur, tidak boleh dimarah. Insan yang menegur akan dibenci dan insan membelai akan disanjungi. Tidak menyediakan diri untuk ditarbiyyah. Sedangkan tarbiyyah merupakan aspek penting dalam pembentukan pejuang dalam sesebuah gerakan Islam. Ramai ahli gerakan yang masih tidak mengerti bahawa sesuatu yang pahit itulah yang benar-benar menjadi ubat penyakit pejuang. Hasil eksperimen sudah dijalankan buat diri, dan sememangnya yang pahit itulah akan diingati dan menjadi penyembuh luka pejuang.

LAJNAH MU LAJNAH KU?

Budaya nafsi-nafsi juga masih tertanam dalam diri kebanyakan ahli gerakan. Peluang mengikuti semua meeting atau program setiap lajnah lain tidak di gunakan dengan sebaik mungkin. Jika diri dimasukkan ke dalam lajnah tarbiyyah, maka perihal dan gerak kerja lajnah siasah, ekonomi dan penerbitan tidak dipeduli. begitu juga sebaliknya. Sewajarnya, semua ahli gerakan perlu mahir dalam setiap sudut. mahir dalam setiap lajnah. mahir dalam percaturan dan cara gerak kerja setiap lajnah dan bahagian. kerna kelak, kita mungkin ditaklifkan memegang lajnah yang tidak kita pegang sewaktu di kampus. Jika itu berlaku, dimanakah persedian kita? renungan bersama..

LEMBU VS ANAI-ANAI..

Budaya malas berfikir dan hanya menantikan buah fikiran insan lain turut perlu dihapuskan di dalam setiap individu ahli gerakan. Ahli gerakan perlu dicuci sehabisnya agar budaya ini dihapuskan.Tiada rasa kasih kepada sahabat sepejuangan yg lain. Rela membiarkan sekelompok ahli bersengkang mata memerah otak memikirkan sesuatu untuk gerakan. Teringat ketika menghadiri satu program tarbiyyah ahli. Ahli gerakan 'dicuci' sehabisnya. Ahli yang malas berfikir dan melontarkan idea semasa meeting atau untuk gerakan disamakan dengan lembu!. Lembu bisu yang malas berfikir. Ada juga ahli gerakan yg suka bercakap belakang pabila sesuatu keputusan telah diambil ketika syura. Kononya tidak berpuas hati dan merasakan idea mereka adalah yg terbaik. Mereka ini pula disamakan dengan anai-anai. Perosak gerakan dalam diam. Inilah dua analogi mudah buat dijadikan sempadan kita bersama. Agar kelak gerakan ini kian mantap!

Permasalahan yg hanya dibincangkan untuk dirungkai bersama. Buat muhasabah diri ini khususnya. Kerana sayangkan adik-adik penerus gerakan ini. Teguran hasil pengalaman sebagai Ubat Pahit buat Pejuang. Ole-ole sebelum diri melangkah pulang. Ke destinasi yang tidak pasti lagi bagaimana waqi'nya. Namun, latihan di alam kampus sebenarnya amat berharga. Menjadi bekal buat semua. Sebagai bekalan memperjuangkan agama. Di medan sebenar. Biar susah difahami oleh orang di luar sana. Biar dipandang hina oleh mereka. Demi agama, teguhkan hati redah segala mehnah. Agar Islam terus dijulang. Allahuakbar!

"Merasakan diri 'NO' di hadapan Allah dan hanya Allah tempat pergantungan."